Friday 5 October 2012

Perangi Rasuah Kekal - Najib

NAJIB Tun Razak menyampaikan replika cek untuk Akademi Anti Rasuah Antarabangsa bernilai RM1 juta kepada Ahli Majlis Eksekutif IAACA, Martin Kreutner (dua kanan) sambil diperhatikan Abu Kassim Mohamed pada Persidangan Pertubuhan Agensi Penguat Kuasa Anti Rasuah Antarabangsa (IAACA) Keenam di Kuala Lumpur, semalam. Hadir sama, Cao Jianming (kiri). - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI

KUALA LUMPUR 4 Okt. - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menegaskan usaha memerangi gejala rasuah dalam negara terus kekal menjadi keutamaan kerajaan dan meletakkannya sebagai satu Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Perdana Menteri berkata, pelbagai pendekatan yang diambil dalam membanteras gejala rasuah termasuk aspek rangka kerja sehingga penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cukup menggambarkan keseriusan gejala tersebut pada pandangan kerajaan.


Bagaimanapun, katanya, usaha yang dilakukan tidak akan berjaya tanpa pembabitan dan kerjasama menyeluruh kerana pada akhirnya langkah diambil itu perlu menjadi etika sebenar dan tanggungjawab masyarakat.

"Kita selalu mendengar apabila orang bercakap mengenai rasuah, perkara pertama yang berada dalam fikiran adalah penyalahgunaan kuasa dalam kalangan penjawat kerajaan dan ahli-ahli politik.

"Tetapi kalau kita berpandangan rasuah adalah satu perbuatan tidak beretika dan tidak bermoral, kita perlu berhenti melihat perbuatan itu hanya kepada penjawat awam dan ahli-ahli politik.

"Tanggapan sedemikian sebenarnya cukup dangkal kerana pada hakikatnya gejala rasuah boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Persidangan Pertubuhan Agensi Penguat Kuasa Anti Rasuah Antarabangsa (IAACA) Keenam di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini.

Majlis disertai lebih 1,000 pegawai pencegah rasuah dari 100 negara itu turut dihadiri Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abu Kassim Mohamed dan Presiden IAACA, Prof. Cao Jianming.

Dalam majlis itu, Najib turut menyerahkan sumbangan kerajaan sebanyak RM1 juta untuk menjayakan Akademi Anti Rasuah Antarabangsa kepada Pengerusi IAACA, Martin Kreutner.

Perdana Menteri berkata, sistem hukuman yang tegas mungkin boleh menghalang gejala rasuah tetapi ada kes di negara-negara yang melaksanakan perundangan lebih keras namun belum menjamin aktiviti itu boleh dihapuskan.

Oleh yang demikian, katanya, semua pihak patut melihat usaha memerangi rasuah dalam perspektif lebih luas kerana terdapat masyarakat berjaya mengurangkan aktiviti itu dengan bergantung kepada kesedaran sivik yang tinggi.

"Kesedaran ini boleh dilaksanakan dengan tumpuan khusus dalam etika, norma-norma dan nilai masyarakat yang berbeza," ujar beliau.

Kata Perdana Menteri, kesedaran itu cukup kritikal kepada individu yang berada dalam kekuasaan jawatan dan kewibawaan untuk mencontohi nilai-nilai yang perlu diikuti oleh kumpulan yang berada di bawahnya.

"Nilai kesedaran yang betul dan kepimpinan etika asal itu sebenarnya bermula dari rumah," tegas beliau.

Dalam ucapannya itu, Najib juga berkata, kerajaan Malaysia sentiasa mengiktiraf kepentingan bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa dalam meneruskan usaha memerangi rasuah.

Sumber: Utusan Online

No comments:

Post a Comment